Monday, February 9, 2015

BAB 2 : KETIDAKSAMAAN ATAU KESAMAAN? FALSAFAH DAN IDEOLOGI (BAHAGIAN 1)

PENDAHULUAN                              
  • Kesamaan bermakna tidak ada ketidaksamaan, manakala ketidaksamaan bermakna tidak wujud kesamaan.
  • Ketidaksamaan dan kesamaan dilihat sebagai dua keadaan sosial yang secara langsung bertentangan di antara satu sama lain.

PANDANGAN AHLI FALSAFAH

Plato (427 – 346 s.m)
  • Plato adalah ahli falsafah Greek yang pertama memperkatakan tentang ketidaksamaan sosial di dalam bukunya Republic.
  • Bagi Plato, ketidaksamaan sosial adalah satu keperluan masyarakat yang penting dan melihat kewujudannya sebagai satu penjelmaan semulajadi.
  • Beliau menyatakan masyarakat atau negara kota raya yang adil adalah yang berasaskan pembahagian kelas.
  • Beliau mengandaikan keadilan akan tercapai apabila setiap kelas dalam masyarakat dapat mewujudkan hubungan kerjasama yang harmoni dan teratur di antara satu sama lain.
  • Beliau menyatakan golongan yang paling layak dan terbaik untuk menjadi pemimpin masyarakat adalah ahli falsafah kerana golongan ini berpengetahuan dan berakhlak tinggi.
  • Dalam istilah beliau bagi ahli falsafah adalah guardian, iaitu berperanan sebagai penjaga kepada sebilangan besar anggota masyarakat yang lain.
  • Beliau mencadangkan satu susunan masyarakat yang bersifat aristokrasi dengan pemerintahan yang dikendalikan oleh ahli falsafah (philosopher Kings).
  • Untuk mencapai pencapaian dan penggunaan keupayaan manusia sepenuhnya ini, sistem pendidikan seharusnya menekankan kesesuaian diri seseorang untuk mempelajari sesuatu jurusan.
  • Bagi Plato, kelas-kelas seperti pemimpin, pekerja dan askar adalah satu keperluan, tetapi pada masa yang sama keanggotaan seseorang dalam kelas-kelas ini seharusnya berasaskan kesesuaian atau kelayakan diri seseorang itu untuk menjalankan tugas tertentu.
  • Walaupun Plato menunjukkan keyakinan terhadap ketidaksamaan sosial, tetapi tidak pula memperlihat pandangan yang serupa khususnya tentang ketidaksamaan ekonomi.
  • Menurut beliau, ketidaksamaan ekonomi akan mewujudkan pertentangan di antara mereka yang kaya dan yang miskin.  Permusuhan di antara kelas ekonomi dilihatnya sebagai menjejaskan keharmonian masyarakat.

Aristotle (384 – 324 s.m)
  • Aristotle dalam bukunya Politics dan Ethics menunjukkan keyakinan beliau tentang keperluan dan sifat semula jadi ketidaksamaan sosial dalam masyarakat.
  • Bagi Aristotle keadilan itu tercapai apabila kepentingan-kepentingan pelbagai kelas sosial dapat diimbangi.
  • Menurut beliau, ketidaksamaan seperti ini boleh wujud jika ianya benar-benar berasaskan sifat semula jadi sesetengah orang untuk menjadi hamba dan bukan kerana tekanan-tekanan daripada sesetengah orang yang berkuasa atau akibat perundangan tertentu.
  • Aristotle cuba membincangkan konsep kesamaan dan hubungannya dengan keadilan berpandukan pandangan-pandangan politik demokratik dan oligarki.
  • Menurut pandangan demokratik, setiap warganegara adalah sama dalam semua segi dan oleh itu prinsip keadilan menuntut supaya kuasa politik diagihkan secara sama rata di kalangan mereka.
  • Menurut pandangan oligarki, keagungan kekayaan seharusnya sekaligus meliputi atau membawa keagungan dalam semua hal yang lain.  Oleh itu kuasa politik harus diagihkan dengan cara yang lebih memihak kepada orang kaya.
  • Berpandukan kedua-dua pandangan ini, keadilan menuntut supaya mereka yang sama dilayan sama rata dalam dua aspek iaitu kesamaan dalam kuantiti agihan dan kesamaan dalam sumber yang diagihkan itu.
  • Jadi, bagi Aristotle untuk mencapai keadilan, dua jenis layanan kesamaan sosial perlu diamalkan dalam sesuatu sistem politik masyarakat ialah layanan kesamaan berbanding (proportionate equality) dan layanan kesamaan bilangan (numerical equality).
  • Layanan kesamaan berbanding (proportionate equality) : cara ini menuntut supaya pengagihan sesuatu sumber itu dibuat berdasarkan banyak mana sumbangan seseorang warganegara kepada kebajikan masyarakatnya.  Apa yang diagihkan itu seharusnya sebanding dengan apa yang seseorang itu layak terima.
  • Layanan kesamaan bilangan (numerical equality) : cara ini menuntut supaya sesuatu sumber yang umum bagi kebajikan seluruh orang awam diagihkan secara sama banyak kepada setiap orang.



No comments: