Tuesday, February 10, 2015

BAB 2 : KETIDAKSAMAAN ATAU KESAMAAN? FALSAFAH DAN IDEOLOGI (BAHAGIAN 2)

PANDANGAN AHLI FALSAFAH


Zeno : Doktrin Stoicisme

  • Stoicisme pada asasnya adalah satu fahaman falsafah moral yang membawa idea bahawa tuhan wujud dalam segala ciptaannya.
  • Falsafah ini diasaskan oleh Zeno (334 – 262 s.m)
  • Fahaman falsafah ini memperjuangkan idea kesamaan di antara manusia.
  • Idea kesamaan ini terbentuk daripada kepercayaan fahaman ini terhadap sifat keteraturan dalam sesuatu ciptaan tuhan yang suci.
  • Seluruh alam sejagat dipercayai dicipta dan beroperasi secara tersusun dan secara adil mengikut hukum sebab (the law of reason), iaitu mengikut kemahuan tuhan (divine reason) yang menciptanya.
  • Fahaman ini juga mempercayai bahawa aspek ketuhanan wujud dalam segala ciptaannya dan oleh yang demikian manusia dilihat sebagai sebahagian daripada tuhan itu sendiri.
  • Menurut kefahaman doktrin stoicisme, hukum sebab ini adalah hukum sebenar alam semula jadi dan melihat keadilan sebagai suatu unsur yang tersedia wujud dalam ciptaan tuhan.
  • Fahaman stoicisme menegaskan bahawa hanya apabila manusia menggunakan pemikiran berasaskan sebab yang betul sahaja maka mereka akan sedar tentang kesamaan di antara manusia.
  • Mereka juga akan sedar betapa tidak pentingnya sumber-sumber kebendaan yang hanya berfungsi dalam kehidupan manusia sebagai kuasa-kuasa yang memecah dan membeza-bezakan di antara manusia.
  • Manusia harus meningkatkan martabat diri mereka dengan menggunakan pemikiran yang sempurna (perfect reason) dan menuju ke tahap yang membolehkan mereka melihat semua manusia sebagai sama.
  • Kesamaan manusia yang disebutkan dalam falsafah stoicisme adalah satu pandangan yang menyerupai pandangan keagamaan, iaitu berasaskan kepercayaan terhadap kesempurnaan dan keadilan dalam segala ciptaan tuhan.

Thomas Hobbes (1588 – 1679)
  • Adalah orang pertama mengemukakan satu perbincangan yang mengaitkan idea kesamaan dengan konsep perjanjian sosial (social contract).
  • Menganggap keadaan kesamaan adalah sifat semula jadi manusia.
  • Menurut beliau, secara semula jadi tidak ada manusia yang memiliki kedudukan sosial yang tertinggi (superior) atau yang paling rendah (inferior) meskipun beliau mengakui perbezaan boleh wujud di antara manusia dari segi kekuatan fizikal atau mental.
  • Pembentukan ketidaksamaan sosial dalam masyarakat diperlihat sebagai satu keperluan untuk menyelesaikan masalah masyarakat yang dijangka timbul akibat kesamaan semula jadi.
  • Ini dijelaskan menerusi dua andaian iaitu :

  1. Beliau melihat kesamaan semula jadi sebagai merangkumi hak setiap orang untuk menuntut sesuatu.  Hak sedemikian boleh mewujudkan peperangan yang berterusan tanpa sebarang kawalan dalam kehidupan manusia.
  2. Oleh sebab secara semula jadinya semua orang sama, maka tidak ada keistimewaan tertentu pada sesiapa pun untuk menjadi pemerintah.  

  •  Walaubagaimanapun, keperluan kepada satu golongan pemerintah berdaulat adalah satu keperluan bersama oleh anggota masyarakat untuk memelihara ketenteraman dan menghindarkan atau menyelesaikan pertelingkahan dalam masyarakat.
  • Keperluan ini digambarkan sebagai satu kemahuan sosial secara sukarela di kalangan anggota masyarakatd dan bukannya kerana masyarakat perlu dipimpin dengan pemikiran sesetengah orang tertentu.
  • Anggota masyarakat terpaksa mengharapkan kepada satu pihak yang dipersetujui ramai untuk bertindak sebagai pemerintah.
  • Ringkasnya, kewujudan golongan pemerintah dengan kewibawaan yang sah adalah akibat satu perjanjian sosial, iaitu satu persetujuan sukarela daripada individu-individu yang mempunyai kedudukan yang sama dan bebas di antara satu sama lain.

Jean Jacques Rousseau (1712 – 1778)
  • Seorang ahli falsafah Perancis.
  • Dalam penulisan bertajuk Discourse on the Origin and Foundation of Inequality Among Men, beliau telah membicangkan secara khusus kemunculan ketidaksamaan sosial dan cara bagaimana ia dapat diimbangi dalam pembentukan kehidupan bermasyarakat atau negara (civil society).
  • Beliau membahagikan ketidaksamaan kepada dua jenis iaitu :

  1. Ketidaksamaan semula jadi yang berpunca daripada perbezaan-perbezaan biologi atau fizikal di antara manusia.
  2. Ketidaksamaan sosial  yang menurut beliau ia ketara berlaku dalam bidang ekonomi dan politik.

  • Beliau berpendapat dalam keadaan semula jadi, iaitu di peringkat kehidupan primitif, manusia telah hidup tanpa ketidaksamaan kerana menurut beliau kemahuan-kemahuan manusia primitif tidak pernah mencapai keperluan-keperluan fizikal.
  • Walau bagaimanapun, dalam proses perubahan sosial, beberapa sifat semula jadi manusia, khususnya sifat ingin memajukan diri dan kebebasan memilih telah mengubah kehidupan manusia daripada kehidupan semulajadi bercirikan kesamaan kepada kehidupan yang bercirikan ketidaksamaan.
  • Beliau melihat pembentukan ketidaksamaan sosial sebagai satu tragedi yang tidak dapat dielakkan, tetapi ada masa yang sama melihatnya sebagai proses yang menghasilkan kehidupan bermasyarakat dan kerajaan.
  • Menggunakan konsep perjanjian sosial sebagai satu proses yang perlu untuk mengimbangi masalah ketidaksamaan sosial.
  •  Ini adalah satu persetujuan bersama di kalangan anggota masyarakat untuk mewujudkan pihak berkuasa atau kerajaan bagi melindungi hak-hak semula jadi individu, kebebasan mempertahankan kesamaan hak di antara individu.
  • Beliau menganggap apa jua bentuk ketidaksamaan politik atau kewujudan pihak berkuasa yang dibentuk secara paksaan, yang diwujudkan untuk menjaga kepentingan sesetengah gologan seperti orang kaya,  sebagai bentuk ketidaksamaan yang tidak sah dan tidak bermoral.
  • Bagi beliau kewibawaan kerajaan atau pembahagian kuasa politik yang sah dalam masyarakat seharusnya berasaskan pada persetujuan.
  • Beliau melihat pembentuk perjanjian sosial dan kerajaan baru yang berterusan dalam perubahan sosial masyarakat sebagai cara untuk mengembalikan unsur-unsur kebebasan dan kesamaan dan sekaligus mengurangkan ketidaksamaan sosial dalam kehidupan manusia.
  • Dengan kata lain, perjanjian sosial baru dicadangkan untuk mewujudkan kebebasan awam (civil liberty) bagi menggantikan kebebasan semula jadi (natural liberty) yang terpaksa dilepaskan di sampping untuk membentuk kesamaan lain dari segi undang-undang dan pertimbangan moral.

Monday, February 9, 2015

BAB 2 : KETIDAKSAMAAN ATAU KESAMAAN? FALSAFAH DAN IDEOLOGI (BAHAGIAN 1)

PENDAHULUAN                              
  • Kesamaan bermakna tidak ada ketidaksamaan, manakala ketidaksamaan bermakna tidak wujud kesamaan.
  • Ketidaksamaan dan kesamaan dilihat sebagai dua keadaan sosial yang secara langsung bertentangan di antara satu sama lain.

PANDANGAN AHLI FALSAFAH

Plato (427 – 346 s.m)
  • Plato adalah ahli falsafah Greek yang pertama memperkatakan tentang ketidaksamaan sosial di dalam bukunya Republic.
  • Bagi Plato, ketidaksamaan sosial adalah satu keperluan masyarakat yang penting dan melihat kewujudannya sebagai satu penjelmaan semulajadi.
  • Beliau menyatakan masyarakat atau negara kota raya yang adil adalah yang berasaskan pembahagian kelas.
  • Beliau mengandaikan keadilan akan tercapai apabila setiap kelas dalam masyarakat dapat mewujudkan hubungan kerjasama yang harmoni dan teratur di antara satu sama lain.
  • Beliau menyatakan golongan yang paling layak dan terbaik untuk menjadi pemimpin masyarakat adalah ahli falsafah kerana golongan ini berpengetahuan dan berakhlak tinggi.
  • Dalam istilah beliau bagi ahli falsafah adalah guardian, iaitu berperanan sebagai penjaga kepada sebilangan besar anggota masyarakat yang lain.
  • Beliau mencadangkan satu susunan masyarakat yang bersifat aristokrasi dengan pemerintahan yang dikendalikan oleh ahli falsafah (philosopher Kings).
  • Untuk mencapai pencapaian dan penggunaan keupayaan manusia sepenuhnya ini, sistem pendidikan seharusnya menekankan kesesuaian diri seseorang untuk mempelajari sesuatu jurusan.
  • Bagi Plato, kelas-kelas seperti pemimpin, pekerja dan askar adalah satu keperluan, tetapi pada masa yang sama keanggotaan seseorang dalam kelas-kelas ini seharusnya berasaskan kesesuaian atau kelayakan diri seseorang itu untuk menjalankan tugas tertentu.
  • Walaupun Plato menunjukkan keyakinan terhadap ketidaksamaan sosial, tetapi tidak pula memperlihat pandangan yang serupa khususnya tentang ketidaksamaan ekonomi.
  • Menurut beliau, ketidaksamaan ekonomi akan mewujudkan pertentangan di antara mereka yang kaya dan yang miskin.  Permusuhan di antara kelas ekonomi dilihatnya sebagai menjejaskan keharmonian masyarakat.

Aristotle (384 – 324 s.m)
  • Aristotle dalam bukunya Politics dan Ethics menunjukkan keyakinan beliau tentang keperluan dan sifat semula jadi ketidaksamaan sosial dalam masyarakat.
  • Bagi Aristotle keadilan itu tercapai apabila kepentingan-kepentingan pelbagai kelas sosial dapat diimbangi.
  • Menurut beliau, ketidaksamaan seperti ini boleh wujud jika ianya benar-benar berasaskan sifat semula jadi sesetengah orang untuk menjadi hamba dan bukan kerana tekanan-tekanan daripada sesetengah orang yang berkuasa atau akibat perundangan tertentu.
  • Aristotle cuba membincangkan konsep kesamaan dan hubungannya dengan keadilan berpandukan pandangan-pandangan politik demokratik dan oligarki.
  • Menurut pandangan demokratik, setiap warganegara adalah sama dalam semua segi dan oleh itu prinsip keadilan menuntut supaya kuasa politik diagihkan secara sama rata di kalangan mereka.
  • Menurut pandangan oligarki, keagungan kekayaan seharusnya sekaligus meliputi atau membawa keagungan dalam semua hal yang lain.  Oleh itu kuasa politik harus diagihkan dengan cara yang lebih memihak kepada orang kaya.
  • Berpandukan kedua-dua pandangan ini, keadilan menuntut supaya mereka yang sama dilayan sama rata dalam dua aspek iaitu kesamaan dalam kuantiti agihan dan kesamaan dalam sumber yang diagihkan itu.
  • Jadi, bagi Aristotle untuk mencapai keadilan, dua jenis layanan kesamaan sosial perlu diamalkan dalam sesuatu sistem politik masyarakat ialah layanan kesamaan berbanding (proportionate equality) dan layanan kesamaan bilangan (numerical equality).
  • Layanan kesamaan berbanding (proportionate equality) : cara ini menuntut supaya pengagihan sesuatu sumber itu dibuat berdasarkan banyak mana sumbangan seseorang warganegara kepada kebajikan masyarakatnya.  Apa yang diagihkan itu seharusnya sebanding dengan apa yang seseorang itu layak terima.
  • Layanan kesamaan bilangan (numerical equality) : cara ini menuntut supaya sesuatu sumber yang umum bagi kebajikan seluruh orang awam diagihkan secara sama banyak kepada setiap orang.



BAB 1 : KETIDAKSAMAAN SOSIAL : KENAPA PERLU DIKAJI DAN MAKNANYA (BAHAGIAN 3)

KETIDAKSAMAAN MANUSIA ATAU KETIDAKSAMAAN KEDUDUKAN SOSIAL?
  • Biasanya yang ditekankan dalam takrifan ketidaksamaan sosial ialah ketidaksamaan di antara manusia yang terbentuk akibat daripada pemilikan sumber-sumber berharga yang tidak sama banyak.
  • Tetapi ketidaksamaan juga boleh dikaji dari sudut ketidaksamaan yang wujud di antara kedudukan sosial, seperti di antara jawatan-jawatan dalam struktur pekerjaan berhirarki.
  • Sesuatu pekerjaan itu boleh dibezakan daripada pekerjaan lain, misalnya dari segi hak, tanggungjawab, kuasa, martabat dan lain-lain.
  • Secara amnya, ketidaksamaan antara manusia juga sebenarnya merangkumi ketidaksamaan kedudukan sosial.
  • Di samping itu, ketidaksamaan antara manusia adalah lebih penting sebagai satu permasalahan sosial daripada ketidaksamaan di antara kedudukan-kedudukan sosial.


ASPEK-ASPEK PENGAGIHAN DAN PERHUBUNGAN
  • Kedua-dua aspek ini berbeza tetapi berkaitan.
  • Aspek pengagihan merujuk kepada pengagihan sumber-sumber seperti pendapatan, kekayaan, kehormatan, pekerjaan, pendidikan dan kuasa di kalangan penduduk.
  • Aspek perhubungan pula merujuk kepada perhubungan yang wujud di antara individu atau kumpulan sosial yang memiliki sumber-sumber berharga secara tidak sama banyak itu.
  • Dari aspek perhubungan, ketidaksamaan sosial itu hanya wujud dalam sesuatu sistem perhubungan sosial yang saling berkaitan.
  • Aspek perhubungan dalam ketidaksamaan sosial yang lebih penting ialah bagaimana hubungan di antara individu atau kumpulan yang tidak sama banyak pemilikan sumber itu terjalin, dipertahankan atau berubah dari masa ke semasa.
  • Misalnya hubungan di antara orang miskin dan orang kaya adalah saling berkaitan dalam sistem pengeluaran.  Ini meyakinkan kita bahawa sebab kemiskinan tidak semestinya atau semata-mata berpunca daripada orang miskin itu sendiri.  Disebaliknya kemiskinan juga disebabkan oleh perhubungan saling berkaitan yang terbentuk di antara orang kaya dan orang miskin.
  • Aspek yang lebih penting ialah perhubungan ketidaksamaan yang terjalin di antara individu atau kumpulan.